fb fb fb fb fb

Diperdaya pelaburan tidak wujud, juruteknik rugi RM300,000

Foto Hiasan

KUCHING, 11 Februari- Seorang juruteknik sebuah syarikat di Kuching mengalami kerugian sebanyak RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mengesahkan perkara tersebut, selepas mangsa lelaki berusia awal 30-an itu membuat laporan polis pada Isnin.

Datuk Mancha menerusi kenyataan media memberitahu, mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Instagram penghujung Januari lepas dan memperkenalkan skim pelaburan dikenali sebagai Joor.Org.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian diarah untuk masuk ke dalam satu laman sesawang aplikasi itu bagi menyertai pelaburan tersebut.

Sejak Januari hingga Februari, mangsa telah membuat beberapa pemindahan wang secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza dan ketika mangsa ingin mengeluarkan wang pelaburannya beliau disuruh membuat pelbagai bayaran tambahan mengeluarkan wang pelaburan itu," kata kenyataan itu.

Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang pelaburan serta tiada mendapatkan sebarang keuntungan pelaburan dan kemudian tampil membuat laporan polis.

Justeru, orang ramai dinasihati melabur di platform berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sahaja.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM