fb fb fb fb fb

Polis tahan pemandu bas sekolah muat naik video kanak-kanak

Ketua Polis Johor, CP M Kumar / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 6 September- Seorang pemandu bas ditahan kerana memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya di Simpang Renggam, Kluang awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, suspek lelaki berumur 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada 2.57 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video agar tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berikutan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.

Beliau berkata kelakuan itu tidak boleh diterima dan menjadi normalisasi berikutan tindakan berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah melanggar hak serta privasi kanak-kanak (Akta Kanak-Kanak 2001).

Pemandu bas terbabit merupakan pemilik akaun TikTok menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu bas sekolah dengan wajah pelajar jelas kelihatan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI