fb fb fb fb fb

Sembilan warga asing ditahan, langgar syarat pas pekerja

Antara warga asing yang di tahan ketika serbuan JIM Pulau Pinang di tiga premis perniagaan/ Foto: FB Jim Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 September- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengusaha kedai runcit menggajikan warga asing yang memiliki permit sebagai pekerja industri di sini semalam.

Ia menerusi serbuan di tiga premis perniagaan yang terletak di Lebuh Sungai Pinang, George Town dan satu premis yang terletak di Minden Height, Gelugor.

Dalam operasi itu, JIM memaklumkan sebanyak 13 pekerja diperiksa dan sembilan pekerja warga asing ditahan kerana disyaki melanggar syarat-syarat pas dalam operasi yang dilakukan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Nepal berumur antara 25 hingga 40 tahun.

“Kesemua warga asing terbabit sepatutnya masuk ke sini untuk bekerja dalam sektor perkilangan, namun berdasarkan aduan dan risikan yang dilakukan, mereka disyaki bekerja di kedai runcit,” menurut JIM dalam hantaran menerusi Facebook.

Ketika pemeriksaan dilakukan, pemilik perniagaan didapati tiada dan premis berkenaan dikendalikan oleh pekerja asing terbabit.

JIM menjelaskan kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan manakala majikan dan pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI