fb fb fb fb fb

Polis tahan lelaki seludup 494 ekor unggas, mamalia kecil

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup 494 ekor unggas dan mamalia kecil di Kilometer 7, Jalan Lipis-Benta, di Lipis, pada 6 Januari lalu / Foto Ihsan PDRM

LIPIS, 8 Januari – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup 494 ekor unggas dan mamalia kecil di Kilometer 7, Jalan Lipis-Benta, di sini, pada 6 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata haiwan-haiwan yang dilindungi itu ditemui dalam sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Lori tersebut sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan, menuju Shah Alam, Selangor.

"Hasil pemeriksaan mendapati haiwan-haiwan tersebut dibawa tanpa permit dan kelulusan daripada Jabatan Perhilitan, sekaligus melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, pemandu lori terbabit telah mengambil pelbagai spesies haiwan tersebut di lokasi berasingan sebelum ditahan oleh pihak polis.

Sehubungan itu, lori bersama kesemua haiwan yang dirampas termasuk 228 buah sarang dan sebuah telefon bimbit, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN