fb fb fb fb fb

Polis tahan individu hina Islam di media sosial

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun berhubung hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata suspek, R. Pram Kumar, ditahan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, pada pukul 2.30 petang.

“Turut dirampas, sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang pegawai kanan polis pada 20 Mac lalu selepas hantaran oleh akaun Facebook Prem Esaan tular di media sosial.

Hantaran tersebut dipercayai mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam dan mendatangkan kegusaran awam.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum, selain menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN