fb fb fb fb fb

KPDN Perak rampas 5,000 liter diesel di stor haram

Foto KPDN Perak

IPOH, 26 Mac- Sebanyak 5,000 liter minyak diesel dirampas, dalam serbuan Op Tiris 2025 di sebuah stor haram di Anjung Tawas Sinaran, Ipoh, perak, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, diesel dirampas selepas pemilik premis berumur 59 tahun, gagal mengemukakan dokumen kebenaran bagi menyimpan bahan api tersebut.

"Serbuan dilaksana hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di Ipoh.

"Maklumat sumber risikan berjaya mengesan tempat simpanan stor haram minyak diesel berselindung di sebalik bengkel kereta.

Pihaknya percaya modus operandi pelaku, menggunakan pemandu lori syarikat mencuri daripada syarikat mereka bekerja dan dibawa ke bengkel kenderaan terbabit.

Pemilik bengkel membeli diesel daripada pemandu lori pada harga murah iaitu sekitar RM2 seliter sebelum menjualnya kepada pihak industri di Ipoh.

Turut disita ketika serbuan, 24 tong dram, 11 tong menyimpan cecair, pam minyak dan telefon bimbit dengan anggaran nilai lebih RM19,000.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Siasatan lanjut juga dijalankan di bawah Peraturan 9 (2) (b) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

 

ROSLINA BINTI DIN