BANGI, 26 Mac – Dadah sintetik berbahaya fentanyl, yang turut digelar ‘dadah zombi’ kini mula dikesan dalam pasaran negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan kehadiran dadah tersebut dikesan melalui analisis sampel air kumbahan di Lembah Subang, yang turut mengandungi methamphetamine dan fentanyl.
Selain itu, bahan terlarang itu juga telah dikesan di Johor.
“Kita menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan pendekatan tambahan digunakan dari segi penguatkuasaan dan penyelidikan untuk mengesan kehadiran dadah baharu di pasaran. Ini termasuk menyiasat sama ada ia dibawa masuk dari luar atau melalui sempadan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara PDRM dan UKM, di sini.
Menurut Ayob Khan, kerjasama antara PDRM dan UKM telah terjalin sejak 21 Oktober 2022 dan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Tambahnya, inisiatif itu bertujuan menjalankan penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang, termasuk dadah psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) serta usaha membanteras penghasilan dadah secara haram dalam negara.