BUTTERWORTH, 26 Mac- Bekas calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan gelaran darjah kebesaran negeri Pahang yang palsu pada Mei 2022.
Tertuduh, Ong Chuan Jin, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut kertas pertuduhan, Chuan Jin yang juga Pengerusi Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kesejahteraan Universal Malaysia didakwa mempamerkan gelaran darjah kebesaran negeri Pahang pada bahagian depan dan belakang kad namanya, walaupun tiada sebarang anugerah darjah kebesaran atau pingat diberikan kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Jalan Raja Uda, pada pukul 1.00 tengah hari, Mei 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No.18 2017] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin, manakala tertuduh diwakili peguam Ong Chian Wen.