fb fb fb fb fb

Polis tahan 14 lelaki di sempadan Pasir Mas

Polis melaksanakan Op Bersepadu Sempadan di lokasi panas sekitar Pasir Mas semalam/Foto Facebook PDRM Pasir Mas

PASIR MAS, 18 Mei – Polis menahan 14 individu yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Op Bersepadu Sempadan yang dilaksanakan di beberapa lokasi panas sekitar daerah ini, semalam.

Operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, polis berkata operasi tersebut melibatkan dua pegawai dan 18 anggota, serta dilaksanakan di sepanjang kawasan sempadan bawah pentadbiran Pasir Mas.

“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Polis turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah agar tindakan segera dapat diambil demi kesejahteraan masyarakat.

GRACE AISYAH KEDAYAN