MUAR, 19 Julai – Polis Daerah Muar telah membuka kertas siasatan berhubung satu laporan palsu berkaitan kehilangan seorang pempengaruh media sosial, Tengku Nizaruddin Tengku Zainuddin, yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan dijalankan melibatkan laporan polis palsu, pemberian keterangan tidak benar dan perbuatan bersubahat.
Menurut beliau, laporan mengenai kehilangan tersebut dibuat oleh adik kepada pempengaruh berkenaan, yang mendakwa abangnya hilang semasa dalam perjalanan ke Muar.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati laporan itu sengaja direka. Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan kemudiannya mendedahkan bahawa pempengaruh terbabit dipercayai telah menenggelamkan kereta milik isterinya dan melarikan diri ke negara jiran,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, kedua-dua individu terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.