IPOH, 19 Julai -Seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah tapak pembinaan di Panorama Lapangan Perdana, di sini, malam tadi.
Pengarah Imigresen Perak Datuk James Lee berkata, operasi itu menyasarkan pekerja asing yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial serta serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.
Katanya, dalam serbuan tersebut seramai 224 individu daripada pelbagai kewarganegaraan telah diperiksa.
"Matlamat operasi kita adalah untuk membanteras pemalsuan pasport dan telah tinggal lebih masa juga menggunakan pas yang tidak sah. Saya nasihati kepada semua untuk menggaji pekerja-pekerja asing dan minta untuk datang ke abatan Imigresen. Jangan menggunakan orang kedua untuk memproses pas-pas ini," katanya kepada pemberita, di sini.
Operasi bersepadu melibatkan seramai 62 anggota penguat kuasa JIM dan PGA.
Turut diperiksa, tujuh kanak-kanak yang berada bersama penjaga masing-masing. Mereka bagaimanapun tidak ditahan memandangkan penjaga memiliki pas sah, namun akan dihantar pulang menerusi program repatriasi migran.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Perak untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.