KUALA LUMPUR, 15 Mac- Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular di media sosial melibatkan seorang individu dipercayai pembantu pengurusan murid yang didakwa mengasari pelajar autistik di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulnizam Ja’afar berkata insiden membabitkan mangsa berusia tujuh tahun itu mendapat perhatian selepas video kejadian dimuat naik di aplikasi TikTok.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini telah terkesan satu posting yang telah dimuat naik dalam aplikasi TikTok Farhan Mazlan yang memaparkan kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulnizam memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah mengklasifikasikan kes tersebut bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.