JASIN, 17 Februari- Polis masih menyiasat kes melibatkan seorang anggotanya yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, pihaknya telah menerima laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh itu.
Mengulas lanjut Christopher berkata, siasatan mengenai kes itu dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
"Setakat ni memang pihak polis telah membuka kertas siasatan dan perkara ini masih dalam siasatan lagi sebab kita ada banyak elemen-elemen yang kita kena siasat dan pastinya kita telah hantar kepada pihak forensik untuk kita menentukan kesahihan aduan yang dibuat oleh si pengadu.
"Saya nak mengingatkan kepada masyarakat semua dalam isu ini saya tidak kompromi kalau ia melibatkan salah laku anggota PDRM, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Jasin.
(Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit)
Katanya anggota tersebut juga masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes itu disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.
Terdahulu tular satu hantaran di Facebook dan video dakwaan seorang lelaki mengenai masalah rumah tangga yang berusia sembilan tahun itu diganggu pihak ketiga dan dipercayai hubungan isterinya dan anggota terbabit telah berlarutan sehingga setahun.