fb fb fb fb fb

Pecah amanah wang syarikat, pemandu dipenjara 12 bulan

SEREMBAN, 17 Februari- Seorang pemandu sebuah syarikat dihukum penjara 12 bulan dan dua sebatan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM14,000, bulan lalu.

Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam turut memerintahkan tertuduh, Mohd. Nazri Malek, 51, didenda RM2,000 selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, mahkamah turut menetapkan tertuduh dihukum penjara lima bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu syarikat Khairi Bina Sdn. Bhd. telah menyalahgunakan harta milik syarikat terbabit iaitu wang berjumlah RM14,000 yang diperoleh daripada sekeping cek milik syarikat itu yang sepatutnya untuk ditunaikan.

Bagaimanapun, tertuduh telah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh kemudian, memohon hukuman penjara paling minimum atas alasan tertuduh telah insaf atas kesalahan dilakukan.

Tertuduh yang sudah bercerai kini menanggung kedua ibu bapanya.


(FOTO FAIL)

Media Baharu