fb fb fb fb fb

Polis serdang lupus barang kes bernilai RM1.8 juta

FOTO RTM

SERDANG, 27 Disember- Polis Serdang hari ini melupuskan pelbagai barang kes melibatkan peralatan perjudian, barangan kontraban, rokok dan mesin simulator bernilai RM1.8 juta.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata ia terdiri 353,400 unit barang kes membabitkan 336 kertas siasatan yang diselesaikan antara 2016 hingga 2023.

"Barang-barang yang dilupuskan adalah barang am rampasan serta rokok dan juga kenderaan serta tab dan mesin simulator yang kita dapat lihat di belakang saya ini.

"Jadi semua barang kes ini akan dikendalikan mengikut proses alam sekitar, bagi rampasan barang kes seperti rokok dan sebagainya akan dibuat oleh pihak syarikat undang-undang,” katanya.

Antara barang rampasan yang dilupuskan termasuk lapan buah kereta, 352,515 kotak rokok, 168 unit laptop, 59 unit tablet, 32 modem dan router, serta 14 mesin simulator, selain pelbagai item lain dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1.8 juta.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media berhubung pelupusan barang kes peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Turut hadir, Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Anbalagan berkata pelupusan itu dijalankan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 407A Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE