fb fb fb fb fb

PGA tumpaskan penyeludupan produk kosmetik lebih RM15,000

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 27 Disember – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan produk kosmetik bernilai lebih RM15,000 yang dikesan di pangkalan haram Epek, dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, di sini pada Khamis.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 ketika menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan sekitar pukul 12.30 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak mengandungi pelbagai produk kosmetik tanpa dokumen sah. Produk tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Nik Ros Azhan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,130.

Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN