SHAH ALAM, 3 September- Polis Selangor menumpaskan tiga sindiket penipuan pusat panggilan dalam operasi berasingan di Subang Jaya dan Rawang sepanjang Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 39 individu termasuk warga tempatan dan asing ditahan.
Beliau memaklumkan, tindakan itu susulan rekod kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Selangor yang mencecah kira-kira RM515 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
"Dalam operasi pertama pada 28 Ogos, polis menyerbu sebuah kondominium di Subang Jaya dan menahan 12 lelaki warga asing berusia 23 hingga 57 tahun.
Rampasan melibatkan 11 komputer riba, 32 telefon bimbit, sebuah modem dan tiga buku latihan mengandungi skrip komunikasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Jelas beliau, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Julai lalu dengan menyasarkan mangsa di Hong Kong dan Australia melalui Facebook dan WhatsApp, sebelum menawarkan pelaburan mata wang kripto.
Dalam operasi kedua pada 11 Ogos, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Emerald, Rawang dan menahan 10 lelaki tempatan berumur 21 hingga 30 tahun.
Rampasan bernilai kira-kira RM45,000 membabitkan sembilan komputer riba, sebuah komputer, 50 telefon bimbit, sebuah modem dan enam buku latihan.
Sindiket ini aktif sejak April lalu dengan menyasarkan mangsa dari Singapura melalui pakej pelaburan tidak wujud.
Kesemua suspek telah didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana pakat jahat jenayah dan dikenakan denda RM3,000 seorang.
"Dalam operasi ketiga pada 15 Ogos, polis menyerbu sebuah banglo dua tingkat di Prima Beruntung, Rawang, dan menahan 17 individu terdiri daripada 14 lelaki tempatan, seorang lelaki warga China serta dua wanita tempatan berusia 18 hingga 56 tahun," ujarnya lagi.
Rampasan berjumlah kira-kira RM75,000 melibatkan 15 komputer, 34 telefon bimbit, dua modem dan sebuah router.
Sindiket itu beroperasi sejak Mac lalu dengan memperdaya mangsa untuk melakukan kerja sambilan memberi ulasan makanan di platform Blue Apron dengan bayaran komisen dijanjikan melalui crypto.com.
Mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan bagi memperoleh komisen lebih tinggi sebelum ditipu sepenuhnya.
Kesemua 17 individu itu turut didakwa bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM3,500 seorang.
Datuk Shazeli menegaskan, polis akan memperhebat operasi bagi membanteras sindiket penipuan dalam talian, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti tersebut.