fb fb fb fb fb

Anggota polis IPD Kajang disiasat berkaitan kehilangan barang selepas serbuan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar (dua dari kiri)

SHAH ALAM, 3 September - Beberapa orang pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan barangan berharga selepas satu serbuan dijalankan di sebuah inap desa di Kajang, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Laporan yang diterima melibatkan kehilangan barang kemas, barangan berharga serta sejumlah wang tunai. Mangsa membuat laporan sejurus selepas operasi dijalankan pada 29 Ogos lalu.

"Premis terbabit merupakan banglo tiga tingkat yang dijadikan inap desa dengan konsep sewaan bilik, dan mangsa merupakan salah seorang penyewa di situ," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Tambah beliau, pemilik premis turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Shazeli turut menasihatkan pemilik rumah atau bilik sewaan khususnya yang disewakan kepada warga asing agar melakukan semakan latar belakang penyewa, bagi mengelakkan premis mereka disalah guna untuk aktiviti jenayah.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI