fb fb fb fb fb

Polis rampas dadah seberat 39kg, suami isteri yang ditahan

Foto Hiasan

KAJANG, 19 November- Sepasang suami isteri antara empat individu yang diberkas bersama dadah seberat lebih 39 kilogram bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, keempat-empat suspek berusia antara 29 hingga 39 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya.

"Pada 15 November 2024, sepasukan polis dari JSJ IPK Selangor, IPD Kajang telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di kawasan sekitar Kajang melibatkan tangkapan tiga lelaki tempatan dan satu perempuan tempatan.

Selain itu, rampasan dadah membabitkan jenis ganja anggaran 36,402 gram, cecair campuran ganja 2,596 gram dan bunga ganja berat 7,589 gram," kata ACP Naazron kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang petang tadi.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah dan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek merupakan sindiket besar dan mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan dalam serbuan di Damansara, Petaling Jaya pada 6 November lalu.

Pihaknya masih menyiasat peranan suspek terbabit termasuk mengesan saki-baki sindiket itu.

Pasangan suami isteri itu direman empat hari, manakala dua lagi suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM