KUALA LUMPUR, 19 November- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menyelamatkan dua perempuan warganegara Bangladesh yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.
Mereka berjaya diselamatkan dalam satu operasi khas pada 18 November 2024 di sekitar Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan JIM menyatakan pasukan operasi telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 36 tahun yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’ dan menjadikan lokasi tersebut sebagai pusat aktiviti seks.
Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 50 tahun yang merupakan pelanggan.
Sementara itu, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk wanita warganegara asing terutamanya daripada Bangladesh dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan.
Operasi itu turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Penunjuk Pemerdagangan Manusia (NGHTI) 2.0.
Jabatan akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670).