fb fb fb fb fb

58,000 liter minyak sawit mentah dirampas

Setiap treler mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran kapasiti antara 5,000 hingga 43,000 liter / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 3 September - Polis berjaya merampas tiga buah treler yang berisi 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 menerusi Op Taring Palma di sebuah premis di Permas Jaya, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Timbalan Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata setiap treler tersebut mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran kapasiti antara 5,000 hingga 43,000 liter.

"Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah dua unit mesin pam, dua menara boiler, sebuah lori 40 tan dan lain-lain dengan nilai keseluruhan kira-kira RM465,111," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Raub, kesemua rampasan tersebut ditemui di sebuah stor yang digunakan untuk menyimpan minyak sawit mentah secara tidak sah dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor Bahru untuk tindakan lanjut.

"Tiada tangkapan dibuat kerana premis tersebut tidak berpenghuni," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan Peraturan 5 Perenggan 5(1)(B) serta Peraturan 5(1)(D).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN