fb fb fb fb fb

KPDN Perak rampas lebih 23,000kg minyak masak

Foto: KPDN Perak

TELUK INTAN, 3 September- Sebanyak 23,015 kilogram (kg) minyak masak disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di premis pemborong di Langkap di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan pihaknya kira-kira pukul 11 pagi itu mendapati pemborong premis disyaki menyimpan barang berjadual minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 (1) AKB 1961 dan melalui rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah 23,015kg melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000kg.

“Berikutan penemuan tersebut, pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok berkenaan dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Ujarnya, kesemua 23,015kg minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM96,663 telah disita bagi siasatan.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan di dalam lesen barangan kawalan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI