fb fb fb fb fb

Polis jejak penulis Indonesia

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 September - Polis sedang mengesan beberapa penulis artikel dari Indonesia bagi membantu siasatan didakwa membabitkan seorang ahli politik dan suaminya di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata selain penulis artikel, polis masih mengesan seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' untuk diambil keterangan.

"Siasatan polis adalah berkaitan pembabitan beliau (Mashitah) dalam dakwaan pemerdagangan orang, itu sahaja.

"Siasatan juga masih diteruskan dengan dengan mengesan Datuk Seri yang didakwa itu serta penulis-penulis artikel termasuk dari Indonesia, yang perlu dirakam percakapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita dalam Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengambil keterangan daripada tiga individu termasuk bekas ahli parlimen yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suaminya.

Tambah Razarudin, pasangan suami isteri tersebut diambil keterangan pada Julai lalu selepas laporan pertama mengenai kes itu diterbitkan.

Pada 28 Ogos lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik tempatan yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, laporan dibuat selepas tular sebuah video pembongkaran sindiket itu di Myanmar menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia.

Bagaimanapun, Mashitah menafikan penglibatannya dan telah membuat laporan polis.

Katanya, dakwaan yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu berdasarkan maklumat diperoleh daripada media picisan di Indonesia.

GRACE AISYAH KEDAYAN