fb fb fb fb fb

Polis Perak siasat kekecohan penunggang motosikal di Ipoh

Tangkap layar video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun X @update11111

IPOH, 28 Januari- Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kekecohan melibatkan sekumpulan besar penunggang motosikal di sekitar simpang empat lampu isyarat Station 18, Jalan Pasir Puteh, di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan pihaknya sedang mengenalpasti tarikh dan masa sebenar insiden tersebut.

"Polis Daerah Ipoh telah mengesan satu rakaman klip video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun X @update11111 yang memaparkan kejadian kekecohan sekumpulan besar penunggang motosikal di tengah jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata, setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan kejadian itu.

Sehubungan itu, polis menyeru mana-mana pihak yang terlibat atau menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Terdahulu insiden berkenaan tular melalui rakaman video berdurasi 1 minit 24 saat yang memaparkan kekecohan terbabit sehingga mengundang reaksi tidak senang daripada orang ramai.

SITI AISHAH MD ISA