fb fb fb fb fb

Polis Perak lupus dadah bernilai RM2.11 juta

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris (tengah) melihat dadah yang dirampas pada program pelupusan barang kes JSJN Perak di IPK Perak / Foto Bernama

IPOH, 26 Oktober -Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta membabitkan kes yang telah selesai dibicarakan dari 2007 hingga tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata keseluruhan dadah adalah seberat 547.52 kilogram dan membabitkan 3,706 kertas siasatan.

Katanya, kesemua barang kes yang dimusnahkan itu termasuk 14 jenis dadah akan dilupuskan di Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn. Bhd, Bukit Pelanduk Negeri Sembilan.

"Sebanyak 15 buah daerah terlibat dengan pelupusan dadah pada tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.
     
Tambah Azizi, tahun ini, sepanjang Januari hingga September 2023 seramai 10,578 orang telah ditahan melibatkan kesalahan dadah di negeri itu.

Hasil dari rampasan tersebut, Polis Perak telah berjaya merampas dadah pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM49 juta serta berjaya membongkar sebanyak lapan buah makmal dadah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN