BUTTERWORTH, 26 Oktober - Seorang pegawai Tentera Darat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran kelas bimbingan anak tentera.
Tertuduh, Mohd Nazeri Noor, 55 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan pegawai Kementerian Pertahanan Malaysia untuk membuat bayaran tuntutan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 28 Mac hingga 24 September 2018.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi tiga pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.