fb fb fb fb fb

KPDN rampas beg LV, Chanel bernilai RM62 ribu

Anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis perniagaan di Bukit Mertajam, semalam

SEBERANG PERAI, 25 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai RM62,087 dalam serbuan di Bukit Mertajam, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata serbuan terhadap dua premis itu dibuat kira-kira 11 pagi bersama dua wakil pengadu daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan berkenaan dijual di premis terbabit adalah tiruan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis-premis itu kemudian menemukan pelbagai barangan berjenama terkenal seperti Puma, Adidas, Nike, Louis Vuitton, Dior dan Chanel yang disyaki tiruan.

“Pihak KPDN kemudian bertindak merampas barangan pelbagai jenama disyaki tiruan seperti 4,830 pasang seluar, 190 helai baju, 510 pasang bra sukan, topi (1,544), beg (625) serta 369 botol minyak wangi pelbagai jenama.

“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 62,087,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

GRACE AISYAH KEDAYAN