fb fb fb fb fb

Gaduh gara-gara hutang, lima lelaki ditahan sebabkan kematian warga emas

SIBU, 25 Oktober - Polis menahan lima lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal warga emas di Lorong Wong King Hou, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menahan lima lelaki yang berusia lingkungan 17 hingga 30 tahun.

Zulkipli berkata, pergaduhan bersenjata bermula dengan aksi kejar-mengejar sehingga kenderaan dinaiki salah sebuah suspek melanggar sebuah motosikal di Jalan Alan.

Beliau berkata polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada 6.45 petang.

"Pihak polis kemudiannya membuat tangkapan ke atas semua suspek dan membuat rampasan terhadap dua kenderaan iaitu jenis Toyota Lexus dan Perodua Alza serta senjata yang digunakan seperti dua bilah senjata jenis Kwantao dan sebatang rotan.

"Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan media.

Zulkipli berkata kesemua suspek telah ditahan reman polis selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek postif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin, Benzo dan MOP.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kemalangan dan kematian," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN