fb fb fb fb fb

Dua rakan terlepas hukuman gantung

Dua rakan dibebaskan atas pertuduhan memiliki ganja seberat 445 gram di Skudai, tiga tahun lalu.

JOHOR BAHRU, 26 Oktober- Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan dua rakan atas pertuduhan memiliki ganja seberat 445 gram di Skudai, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat terhadap kedua-dua tertuduh, Effy Sharafi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan rantaian dan pengetahuan terhadap barang kes untuk kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Effy Sharafi dan Indra Ironi didakwa melakukan perbuatan berkenaan di kawasan lot parkir sebuah pusat membeli belah di Skudai, sekitar 6 petang, 16 Julai 2020 lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan rantaian dan pengetahuan terhadap barang kes untuk kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, Effy Sharaffi didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 10.14 gram di lokasi dan hari yang sama dan berdepan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh dia ditangkap iaitu 16 Julai 2020.

Bagaimanapun, Effy Sharafi diarahkan membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Tertuduh kemudiannya menukar pengakuannya kepada bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala peguam Nur Helmi A Halim mewakili Effy Sharaffi dan peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib serta Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri mewakili Indra Ironi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI