fb fb fb fb fb

Polis kesan lelaki simbah cat merah di Taman Kuala Bekah

FOTO POLIS

KEPALA BATAS, 29 Disember- Polis sedang mengenal pasti  seorang lelaki  berkaitan kes simbah cat yang berlaku di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Mohd Asri Shafie berkata sebanyak empat laporan polis daripada empat penduduk di situ diterima berhubung kejadian tersebut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati salah seorang mangsa telah melakukan pinjaman wang secara dalam talian melalui laman sosial Facebook pada awal bulan November lalu.

Tambahnya, mangsa juga mengesahkan telah menjelaskan bayaran balik pinjaman tersebut namun masih diganggu oleh pemberi pinjaman wang dengan menuntut bayaran tambahan daripada mangsa.

Pihak forensik telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan mengambil sampel cat beserta botol cat yang ditinggalkan oleh suspek untuk tujuan analisa.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa mendapati perbuatan tersebut telah dilakukan oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Kes disiasat bawah Seksyen 5 (2) akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi kesalahan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen serta seksyen 427 kanun keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat.

Terdahulu tular di media sosial memaparkan rumah dan kenderaan milik penduduk disimbah cat merah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE