JOHOR, 18 Februari- Polis menahan 184 individu termasuk 162 warga asing di Johor dipercayai terlibat kesalahan pelesenan aktiviti hiburan, kesalahan imigresen dan penyalahgunaan dadah, awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Komisioner Polis M. Kumar berkata, serbuan dijalankan menerusi Operasi Noda Khas, dan Op Hibur bermula pukul 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi.
Kesemua individu yang ditahan berumur 21 hingga 64 tahun.
Antara kesalahan dikesan adalah Langgar Syarat Lesen Hiburan Raya, Tidak Memiliki Pas Kerja Sah, Salah Guna Pas Kerja, Berada Dalam Negara Tanpa Permit Sah dan Tinggal Lebih Masa.
Ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati empat lelaki dan 28 wanita warga asing bersama 14 lelaki dan dua wanita warga tempatan positif dadah jenis syabu.
Beberapa peralatan pusat hiburan dan wang tunai hasil perniagaan juga dirampas.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 1998 serta Peraturan-Peraturan Imigresen dan Akta Dadah Berbahaya 1952.