GEORGE TOWN, 19 Februari- Seorang pembantu pejabat di Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan mencederakan ibu kandungnya.
Tertuduh, Poh Lee Aik, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim di Mahkamah Sesyen dan tiga pertuduhan lain dibuat di Mahkamah Majistret.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap mangsa dengan cara memukul kepala dan badan mangsa menggunakan rotan secara berulang kali.
Kesalahan itu dilakukan di Blok 3-11-07 Taman Lembah Hijau, Lorong Gangsa, Green Lane pada 13 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 236 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.
Hakim Mohammad Khalid Ab.Karim menolak permohonan ikat jamin atas faktor kesalahan serius dan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa.
Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan memukul menggunakan tangan dan ugut bunuh ke atas mangsa pada tarikh dan masa yang sama.
Kes itu akan disebut semula pada 19 Mac depan untuk serahan laporan perubatan mangsa.