fb fb fb fb fb

Lebih 900 warga asing diperiksa di bandar Seremban

Seramai 835 lelaki dan 79 wanita warga asing diperiksa dalam operasi di bandar Seremban semalam

SEREMBAN, 19 Februari- Lebih 900 warga asing diperiksa dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Majlis Bandaraya Seremban dan Jabatan Imigrisen Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, operasi dilakukan selepas timbul keresahan masyarakat terhadap kewujudan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan selain bertujuan mencegah jenayah.

Beliau berkata, kawasan radius yang diperiksa dalam operasi itu melibatkan jarak dua kilometer sekitar bandar Seremban hasil tiga minggu pemantauan pihak berkuasa.

Seramai 835 lelaki dan 79 wanita warga asing diperiksa kebanyakannya warga Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, tujuh sitaan dibuat bawah Undang-Undang Kecil Tred dan 13 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar syarat lessen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE