JOHOR BAHRU, 14 Mei- Satu sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks didalangi warga tempatan dilumpuhkan Polis Johor awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sindiket itu menipu mangsa-mangsa warga asing dengan menawarkan pelbagai pekerjaan di Malaysia.
Namun, semua mangsa dikerah menjadi hamba seks kepada pelanggan warga asing dan bayaran diterima dikaut sepenuhnya ketua sindiket itu.
Semua mangsa diuruskan seorang ejen untuk dibawa menaiki kapal terbang ke Malaysia dan dibawa ke rumah sewa di Johor sebelum dipaksa melayani pelanggan-pelanggan.
Pelanggan akan membuat tempahan dan dicatatkan namanya ke dalam sebuah buku dengan kadar bayaran RM100 hingga RM300.
"Di sini mangsa-mangsa ini dipaksa melanggani lebih kurang 30 hingga 35 orang sehari dan tidak dibayar satu sen pun kepada mangsa mangsa ini, semua dikaut sindiket yang diketuai ketua sindiket ini yg merupakan seorang warga tempatan", katanya dalam Sidang Media Ketua Polis Johor, di sini.
Seramai 13 wanita warga asing diselamatkan dalam serbuan tersebut.
Pelbagai barangan bagi tujuan kegiatan itu dan wang tunai lebih RM8,000 dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007, Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.