IPOH, 14 Mei- Pegawai Kanan Polis yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar 17 tahun akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati, Meru, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh atas tuduhan membunuh.
Tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44 tahun yang diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Hakim Datuk Bhupindar Singh menetapkan 30 hari bermula 4 November 2024 hingga 17 Januari 2025 untuk perbicaraan kes tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 1 Julai depan untuk serahan dokumen.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, pula memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 60 saksi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44 tahun, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 tahun.
Perbuatan tersebut dilakukan pada 15 Disember 2023 antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dalam daerah Kinta, Perak.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.