fb fb fb fb fb

Polis Johor rampas lebih 37 kg dadah bernilai RM5.33 juta

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bersama para pegawai yang bertugas, menunjukkan rampasan dadah yang dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini./BERNAMA

JOHOR BAHRU, 15 Oktober – Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM5.33 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, empat lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 54 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Serbuan pertama di sebuah pangsapuri, menahan dua lelaki bersama lebih 12 kilogram dadah, serta alat memproses dadah.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini, yang membawa kepada penahanan dua lelaki bersama lebih 12 kilogram dadah serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Manakala, dua lagi serbuan berjaya menahan dua lelaki, selain merampas lebih 25 kilogram dadah pelbagai jenis.

"Jumlah dadah yang disita mampu menampung keperluan lebih 115,900 penagih. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mac 2025 dan menjadikan pangsapuri yang disewa sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum ia diedarkan ke pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Hasil semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai lima rekod kes dadah, manakala seorang lagi memiliki 10 rekod kes dadah, satu rekod jenayah, serta satu kesalahan imigresen.

Kesemua suspek didapati positif methamphetamine dan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI