fb fb fb fb fb

Polis buru tiga lelaki edar kad pinjaman wang tanpa lesen, judi di bazar Ramadan

Satu video di laman Facebook milik Oppa Zuzu Kitchen dipercayai seorang daripada peniaga di bazar berkenaan, memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan kad pinjaman tanpa lesen dan judi dalam talian.

IPOH, 31 Mac- Polis Perak sedang memburu tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan menyebar kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di sekitar bazar Ramadan di Stadium Perak, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kegiatan lelaki terbabit telah dirakam oleh seorang daripada peniaga di bazar berkenaan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga lelaki terbabit telah menjalan kegiatan menyebarkan kad perniagaan wang tanpa lesen dan judi dalam talian sejak tiga hari lalu.

“Rakaman berdurasi 1.01 minit itu menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar Ramadan di Stadium Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu temu bual telah diadakan dengan peniaga tersebut dan butiran kejadian sudah diperoleh serta usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Namun katanya tiada laporan polis diterima dari mana-mana pihak setakat ini dan tindakan masih diteruskan.

Semalam, tular satu video di laman Facebook milik Oppa Zuzu Kitchen dipercayai seorang daripada peniaga di bazar berkenaan, memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan kad pinjaman tanpa lesen dan judi dalam talian.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI