fb fb fb fb fb

Insiden tembak menembak di Putra Heights, PDRM sahkan Geng NinjaVan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM, 30 Mac- Kes lima penjenayah yang mati ditembak polis pada semalam, dipercayai kumpulan penyamun yang dikenali sebagai Geng Ninjavan.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lima lelaki tempatan itu disyaki terbabit dalam 50 kes samun sejak 2022 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Sasaran mereka adalah kilang, pejabat dan juga rumah. Ada juga beberapa kes mereka bertindak ganas dengan menetak mangsa di dalam rumah tersebut. Mereka menyasarkan barang-barang berharga terutama peti keselamatan (safebox)."

"Antara tempat yang mereka pernah samun adalah premis-premis NinjaVan, bawa lari peti yang mengandungi wang tunai," kata Datuk Hussein kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan ini terdiri lebih daripada lima orang dan mempunyai maklumat orang dalam di premis-premis yang disamun.

Hasil pemeriksaan, polis menemui dua pucuk pistol, senjata parang serta pelbagai peralatan untuk tujuan samun dan pecah rumah dalam kenderaan suspek.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjejaki baki anggota kumpulan penyamun ini.

Terdahulu, lima suspek tumpas dalam insiden tembak-menembak yang berlaku di Putra Heights semalam, susulan pihak polis mengesan kenderaan yang dinaiki mereka dalam keadaan yang mencurigakan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM