fb fb fb fb fb

Lima lelaki ditahan, edar dadah berselindung aktiviti seludup beras

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki menunjukkan hasil rampasan serbuan menerusi Op Taring Bravo Rabu lalu.

KOTA BHARU, 31 Mac- Lima lelaki tempatan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dengan berselindung di sebalik aktiviti penyeludupan beras ditahan menerusi Op Taring Bravo Rabu lalu.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, penahanan suspek dibuat di sebuah rumah di Kampung Jambu, di sini pada pukul 7.40 malam oleh sepasukan anggota Perisikan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas dua pucuk pistol dan turut ditemui lima butir peluru hidup.

Menurutnya, turut dirampas sebanyak 17,200 biji pil disyaki pil kuda, lima kilogram(kg) dadah disyaki ganja, 18 liter air ketum serta dua liter ubat batuk.

Serbuan turut menemukan 50 kampit beras seberat lima kg bersama lima telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM273,815.
 
“Dalam risikan awal ianya menunjukkan satu sindiket  penyeludupan beras tetapi kita telah menjumpai sebagaimana disebut tadi pistol dan juga dadah. Walau bagaiamanapun kita akan buat siasatan, setakat ini kumpulan ini tidak ada dalam senarai kita dalam sindiket dadah tetapi dengan penemuan sejumlah dadah pil yaba terutamanya yang banyak mungkin telah menyelitkan aktiviti pengedaran dadah dalam penyeludupan beras," katanya.

Muhammad Zaki berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
 
Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan beras hampir lima tahun dan turut dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan lembu.
 
Tambahnya, polis juga percaya masih ada ahli kumpulan sindiket terbabit yang masih belum ditahan.
 
Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bermula Khamis lalu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI