fb fb fb fb fb

Polis buru dua suspek pecah rumah, larikan motosikal pemain Selangor FC

SHAH ALAM, 23 Mei - Polis sedang memburu suspek yang disyaki memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dan melarikan sebuah motosikal milik mangsa di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.30 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih itu melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R milik mangsa.

“Dua orang suspek dipercayai datang menggunakan MPV dengan seorang daripadanya bertindak melarikan motosikal manakala seorang lagi memandu MPV ketika meninggalkan rumah mangsa.

“Semasa kejadian, mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya selain melarikan motosikal dan empat beg pelbagai jenama, pihaknya mendapati kejadian tidak melibatkan kehilangan wang tunai dan barangan berharga lain.

Terdahulu, Ahmad Khuzaimi berkongsi laporan polis yang dibuat melalui akaun media sosial miliknya berhubung kediamannya dipecah masuk dengan beliau kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan passport antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek dalam kadar segera.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

aidan