fb fb fb fb fb

Polis tahan warga Indonesia, rampas dadah bernilai RM110,000

IPOH, 23 Mei - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki warganegara Indonesia dalam satu tangkapan di Langkap, Teluk Intan, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah dalam serbuan pada pukul 9.30 malam.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis telah menemui sebuah beg beroda berzip dan di dalamnya terdapat 20 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat sembilan kilogram dengan nilai berjumlah kira-kira RM110,000.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri memaklumkan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri ini yang boleh digunakan 11,000 orang penagih dadah.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

aidan