fb fb fb fb fb

Polis buru dua lelaki samun kedai guna alat pemadam api

Foto daripada rakaman CCTV di sebuah kedai di Taman Desa Aman, Guar Chempedak

YAN, 28 Januari - Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang menggunakan alat pemadam api ketika melakukan samun di sebuah premis perniagaan.

Kejadian berlaku di sebuah kedai di Taman Desa Aman, Guar Chempedak, di sini kira-kira pukul 7.25 petang pada Khamis lalu.

Perbuatan kedua-dua suspek berjaya dirakam Kamera Litar Tertutup, CCTV di dalam premis.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintenden (DSP) Shahnaz Akhtar Haji dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian tersebut dua lelaki telah masuk ke dalam kedai lalu menyembur alat pemadam api ke dalam kedai.

"Salah seorang suspek bertindak melarikan mesin tunai dan kedua-dua suspek kemudian melarikan diri," katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kerugian sebanyak RM2,800 dan usaha memburu suspek masih dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF