fb fb fb fb fb

Cubaan seludup masuk gagal, enam warga Myanmar ditahan

Foto Ihsan Orang Awam

YAN, 28 Januari - Tindakan sekumpulan warga Myanmar menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut gagal apabila ditahan pihak berkuasa.

Kesemua warga asing itu ditahan selepas mendarat di tepi laut di Kuala Dulang Kechil, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pihaknya menerima panggilan daripada ahli persatuan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah menahan sekumpulan warga asing di tepi laut Kuala Dulang Kechil.

"Rentetan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Yan telah ke lokasi kejadian dan menahan dua lelaki dan empat wanita warga Myanmar berusia 15 hingga 33 tahun.

"Semasa mendarat, bot telah menurunkan kesemua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berkenaan dan telah beredar dari pesisir pantai," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Shahnaz, siasatan awal mendapati kawasan berkenaan dipercayai dijadikan transit untuk PATI masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mencegah dan menghalang kemasukan PATI ke negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN