fb fb fb fb fb

Penghantar makanan rugi RM82,000 ditipu

FOTO HIASAN

JASIN, 28 Januari - Seorang penghantar makanan mengalami kerugian RM82,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden (DSP) Ahmad Jamil Radzi dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 25 tahun itu terdahulu tertarik dengan pelaburan pertukaran mata wang asing di platform telegram dengan nama ‘Sahabat Invest Master Bina’.

"Melihat ramai ahli kumpulan itu yang mendapat keuntungan hasil pelaburan, mangsa kemudian menghubungi individu yang menguruskan pelaburan berkenaan.

"Dia dijanjikan hasil pelaburan yang tinggi dalam tempoh tiga hingga enam jam sahaja," kata Ahmad Jamil.

Tambah beliau, mangsa diminta memberikan butiran diri termasuk akaun bank dan jumlah pelaburan yang mahu dilaburkan.

Mangsa kemudian membuat pelaburan sebanyak RM20,000 dan membuat sembilan kali transaksi ke enam pemilik akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM82,000 pada 20 Januari hingga 25 Januari lalu.

Namun, suspek masih meminta mangsa untuk membuat pembayaran lagi bagi mendapat keuntungan.

Curiga dengan pelaburan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF