fb fb fb fb fb

Polis buka kertas siasatan pelajar jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dilaporkan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sejurus menerima laporan, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi serta individu berkaitan, selain menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada wujud unsur buli dalam kejadian itu.

“Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujud unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya.

Shazeli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa, selain memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh.

Terdahulu, seorang pelajar lelaki dilaporkan kritikal selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sabak Bernam dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 2 pagi tadi.

Keluarga mangsa mendakwa anak mereka mungkin menjadi mangsa buli di sekolah berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN