fb fb fb fb fb

Pelajar asrama cedera, pengetua dan warden ditempatkan ke JPN Selangor

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kejadian melibatkan seorang pelajar yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama di sebuah sekolah di Sabak Bernam hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan beliau tidak akan berkompromi sekiranya terbukti melibatkan salah laku buli di sekolah berkenaan.

"KPM juga telah memulakan siasatan dalaman untuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah terbabit serta menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan selesai.

“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci melibatkan semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini. KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, pelajar berkenaan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital, manakala laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Fadhlina turut mendoakan agar pelajar terbabit segera sembuh dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam pada 2 pagi tadi.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

BERITA BERKAITAN

 

GRACE AISYAH KEDAYAN