fb fb fb fb fb

Polis berjaya tahan dua lelaki aktif edar dadah

Foto Arkib

TELUK INTAN, 20 Mei - Dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan, disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak sekitar jam 12 tengah hari.

Suspek berusia 35 dan 37 tahun ditahan bersama heroin seberat 104.17 gram, syabu 8.06 gram dan MDMA 42.20 gram, dipercayai untuk tujuan penagihan.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai 4-RIBU 361 RINGGIT dan mampu digunakan oleh lebih 300 penagih.

Ujian saringan urin turut mendapati seorang positif morfin, manakala seorang lagi positif methamphetamine. Semakan lanjut mendapati mereka mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah. 

Kedua-dua suspek mengaku mula menagih dadah sejak berumur 20 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN