fb fb fb fb fb

Op Taring Wawasan: 162 ekor kambing seludup dari Thailand dirampas

FOTO FB Briged Tenggara PGA Rasmi

TANAH MERAH, 19 Mei- Pasukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan haiwan apabila menahan sebuah lori yang membawa 162 ekor kambing disyaki diseludup dari Thailand dalam satu operasi awal pagi tadi.

Briged Tenggara PGA Rasmi menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan, kenderaan tersebut ditahan pada pukul 2.41 pagi di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, semasa pasukan PGA menjalankan rondaan dalam Op Taring Wawasan Kelantan.

"Lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun itu didapati membawa haiwan ternakan tersebut tanpa sebarang dokumen sah.

"Suspek dipercayai cuba menghantar kambing-kambing tersebut untuk dipasarkan secara haram di pasaran tempatan.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM321,000 termasuk nilai haiwan dan lori yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan tersebut," menurut hantaran tersebut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 36(1), Akta Binatang 1953, dan suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.

PGA menerusi kenyataan sama turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperhebatkan kawalan di kawasan sempadan negara bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE