KUCHING, 21 Januari - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas bahan letupan, rokok, dan minyak diesel bersubsidi bernilai RM3.51 juta dalam empat serbuan berasingan di seluruh daerah di sini, semalam.
Menurut Komander Briged PGA Sarawak, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang, operasi serentak itu dijalankan di Kuching, Sibu, Miri, dan Tebedu.
Susulan itu, empat individu tempatan berusia antara 19 hingga 64 tahun turut diberkas dalam operasi tersebut.
"Di Kuching, pihak berkuasa merampas sebanyak 597 kotak mercun dan bunga api yang disimpan di sebuah premis.
"Di Sibu, sebanyak 2,110 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng telah ditemukan di sebuah premis di Sibujaya.
"Manakala di Miri, serbuan ke atas sebuah premis di bandar raya itu membawa kepada penemuan 153 kotak mercun dan bunga api.
"Di Kampung Temong Mura, Tebedu pula, sebanyak 300 karton rokok putih ditemui sekitar pukul 5 petang," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 11 Akta Bahan Letupan 1957, Akta Kawalan Bekalan 1961, serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.