fb fb fb fb fb

Pesara wanita ditipu skim pelaburan tidak wujud

FOTO HIASAN

KUANTAN, 29 Disember - Seorang pesara syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM730,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi laman sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan berkata mangsa, wanita berusia 65 tahun itu berminat untuk menyertai skim pelaburan saham ditawarkan melalui aplikasi Instagram yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus.

Wanita itu seterusnya membuat pendaftaran melalui laman web Bitpanda yang merupakan platform saham tujuan melabur dan telah memindahkan wang sebanyak RM730,000 dengan 19 transaksi ke 14 akaun berbeza bermula 20 April sehingga 9 Jun lepas.

"Mangsa yang menggunakan wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan untuk melabur pada mulanya telah berjaya mengeluarkan wang keuntungan sebanyak RM5,000 sebelum laman web tersebut tidak dapat diakses, malah suspek turut meminta mangsa membuat penambahan wang untuk pelaburan itu," katanya.

Beliau berkata mangsa yang menyedari terpedaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

TETITIA YUSOFF